"Breastfeeding: it's 90% mindset, 10% technical."
Kata-kata keramat yang biasa kita dengar. Nak menunjukkan kepada kita bahawa untuk menjayakan penyusuan ibu, minda kita yang perlu berperanan besar. 90% pengaruhnya. Minda perlu ditetapkan yang susu ibu itu cukup untuk si anak dan matlamat 2 tahun penyusuan boleh dicapai. Awalnya, saya sendiri tidak percaya. Tapi bila lalui sendiri, ya, saya akui ia memang kata-kata keramat.
Malahan, secara saintifiknya, memang hormon untuk menghasilkan susu iaitu prolaktin, dihasilkan di otak. "Prolactin will be released by posterior pituitary gland. This will stimulate milk's production." Ini sebahagian dari penyampaian kuliah saya kepada hampir 210 orang pelajar di hadapan.
Segala perkara teknikal seperti breastpump (pam susu) yang canggih manggih, storage bag dan breastmilk bottle yang kena beli selalu, satu per satu milkbooster yang harus dicuba sampai ketemu yang serasi, nursing cover yang cantik tapi mahal, dan segala macam lagi yang melibatkan duit pastinya, hanyalah sekadar added value (penambah nilai).
Bagaimana minda boleh menguasai 90% kejayaan penyusuan ibu? Pernahkah ada yang dapat mengharungi pahit getir penyusuan dengan pergantungan besar pada kuasa minda, dengan meminimumkan perkara teknikal yang digunakan? Ya, ada. Contoh terbaik, ibu-ibu dahulu kala. Namun, bagaimana pula dengan ibu yang bekerjaya? Di sini akan diceritakan salah satunya. Kisah perjalanan seorang ibu muda beranak dua dan berkerjaya. Kisah jatuh dan bangunnya dalam perjuangan menyusukan dua orang anak.
****
Saya diuji dengan penyusuan pada anak sulung. Hanya 3 minggu sahaja direct feed. Selepas itu, saya terpaksa menjadi exclusive pumping mom (EPM). Walaupun nak kata sepenuhnya eksklusif, tidak juga. Ada diselang dengan susu formula juga bila bekalan expressed breastmilk (EBM) tidak mencukupi. Itu belum termasuk 3 kali diserang mastitis, iaitu bengkak susu sampai demam. Syukur tidak sampai ke tahap breast abscess, iaitu jangkitan yang sudah menyebabkan nanah. Waktu itu, minda saya tidak cukup kuat untuk menyatakan, "yes, I can do it!"
Jadi, bila diuji dengan proses penyusuan yang tidak lancar sebegini, saya tertekan. Namun, saya pujuk hati. Harungi sahaja, ini mungkin bahagian saya. Bahagian untuk saya berjuang dengan sehabisnya. Satu lagi peluang pahala saya. Lantaran, bahagian-bahagian lain Allah telah permudahkan.
Ketika mengandungkan anak sulung, semuanya mudah. Tiada muntah-muntah apabila bau badan suami, tidak mengidam jus mango lassi pekat berkrim dari Restoran Khyber Pass di Nottingham, dan tidak pernah lagi sampai tahap perlu solat duduk sebab sudah suntuk perut. Memang mudah berbanding orang lain.
Ketika melahirkan juga, mudah. Doktor tidak menyangka, secepat itu proses bersalin saya. Jururawat jangka saya bersalin tengahari. Doktor jangka saya bersalin petang. Tengok-tengok, saya bersalin pagi. Jadi, adillah jika Allah uji saya dengan bahagian penyusuan pula.
Sepanjang berjuang menjadi EPM, saya rasa sangat tidak berilmu. Memang ya pun. Waktu mengandung, saya tidak langsung membaca apa teknik penyusuan yang betul dan tidak langsung bersedia untuk menjayakan penyusuan 2 tahun. Saya juga tidak cukup kuat untuk menghadapi persekitaran yang tidak jitu menyokong pada breastfeeding. Tiada ilmu, tiada sokongan. Dan perjalanan penyusuan anak sulung saya terhenti di situ. Tak sampai 6 bulan. Sedangkan ada sahabat-sahabat saya dapat terus kental berjuang menyusukan anak mereka selama 2 tahun walaupun menjadi EPM. Saya gagal? Tidak! Kerana saya telah berusaha. Cuma usaha saya tidak sehabis baik. Dan itu yang saya perlu perbaiki di masa akan datang.
Bila anak kedua lahir, terselit kegusaran waktu saat pertama hendak menyusukannya. Di bilik itu, Special Nursery Care (SCN) itu, saya baru dapat mendukung bayi saya yang dilahirkan semalam. Wajahnya dibelek..
Dalam hati, mampukah aku menyusukannya? Bolehkah dia menyusu sedangkan aku hanya dapat menyusukan abangnya secara terus hanya untuk 3 minggu? Ah, saya berhenti berfikir. Tak mahu berfikir apa-apa yang negatif saat itu. Apa yang saya lakukan ketika itu adalah membiarkan si comel sayang menyusu..
Dan alhamdulillah, memang fitrah Allah beri, bayi boleh menyusu sendiri. Cuma ada bayi tertentu yang mungkin perlu dilatih dahulu. Itu bahagian lain pula, untuk memberi peluang pahala kepada ibunya.
6 hari, saya dan anak kedua berkampung di hospital. Kerana anak saya disahkan mempunyai G6PD dan pemantauan perlu dilakukan. Di sana, saya melihat pelbagai suasana. Ada anak menangis tak dapat menyusu. Ada ibu menangis tak tahu bagaimana nak menyusukan. Ada ibu lain pula mengaduh kesakitan tiap kali menyusukan akibat nipple sore. Ada ibu terpaksa mendapatkan susu formula yang disediakan kerana susu masih belum cukup untuk si anak. Ada ibu lain pula, siap bawa alatan pam dan dapat pam sampai berbotol-botol susu. 3 pagi kami, para ibu di SCN itu sama sahaja dengan pada pukul 3 petang. Boleh dibilang dengan jari siapa yang dapat tidur lena di tengah-tengah tangisan bayi-bayi yang saling bersahut-sahutan.
Saya memerhati. Pengalaman 6 hari itu cukup bermakna. Tekad saya kuat, jika ibu-ibu ini boleh mengharungi ujian yang lebih getir dari saya, kenapa saya tidak. In shaa Allah, saya boleh meneruskan penyusuan hingga 2 tahun. Ini mindset yang saya telah programkan sejak di hospital.
Pulang ke rumah, terus masa yang luang digunakan untuk menyimpan stok susu. Apa sahaja anasir luar yang cuba melemahkan semangat perjuangan penyusuan, saya tangkis. Mungkin kerana sudah anak dua. Saya sudah kurang peduli pada cakap-cakap orang.
Stok susu 100% diperolehi sepenuhnya secara manually expressed. Breastpump, saya ada, tapi saya lebih gemar guna tangan. Kufur nikmat? Bukan. Supaya senang saya nak berhenti bila anak sulung perlukan perhatian, supaya saya tak perlu menghabiskan masa membasuh bahagian-bahagian kecil breastpump setiap hari dan supaya saya dapat kurangkan bengkak susu melalui urutan Mermet. Tambah-tambah lagi, saya lebih selesa dan lebih cepat guna tangan dari pam. Mungkin kerana pam saya tidak secanggih Medela (again, ini adalah mindset!).
Maka, waktu cuti berpantang selama 2 bulan lebih, stok EBM terkumpul penuh separuh deep freezer besar. Maka, salah satu konklusi saya dapat buat, supaya senang di kemudian hari, rajinkan diri kumpul stok EBM sewaktu produksinya paling banyak, iaitu ketika cuti berpantang, tanpa stres, kesibukan dan kepenatan bekerja.
Milkbooster? Memang tak beli juga produk-produk milkbooster untuk anak kedua. Bukan sengaja tak beli, tapi takut tak termakan kerana tak sempat. Cukup sesekali makan kurma dan minum susu untuk mengenyangkan perut yang kerap lapar. Alhamdulillah, susu ada selalu walaupun ibunya ini kurang berat badan. Walaupun tidak semeriah orang lain, tetapi in shaa Allah cukup untuk anak saya. Dan sampai sekarang, saya tak tahu, apa milkbooster saya. Sedangkan waktu anak sulung, beberapa produk milkbooster telah dicuba. Namun, masih tiada kesan ketara. Yang bila saya makan, susu terus bertambah dengan mendadaknya. Belum jumpa lagi, barangkali.
Kelas breastfeeding berbayar yang sampai ratus-ratus itu? Tak pernah ikut sebab saya 'kedekut' orangnya. Bengkel penyusuan yang pernah saya ikuti pun cuma sekali, di bawah anjuran Nisa' Bandar Baru Bangi. Saya beruntung, waktu mengandungkan anak kedua, saya ada support group rakan-rakan sekolah yang telah bergelar ibu-ibu di medium Whatsapp untuk berkongsi info, pendapat dan inspirasi berkenaan breastfeeding. Hot Mama nama whatsapp's group kami. Waktu di hospital juga, dimanfaatkan sepenuhnya untuk bertanya pada lactation consultant dan midwives secara percuma. Pokoknya, ilmu saya bertambah. Jadi, minda saya tahu, proses penyusuan ini akan mudah. Dan murah, tentunya.
Hingga kini, sudah hampir separuh perjalanan penyusuan dilalui. Masih ada stok baru ditambah menggantikan yang lama yang telah digunakan. Meskipun kuantitinya tidak semeriah dulu. Itu pun, bulan puasa saya tak dapat menyimpan stok. In shaa Allah, saya optimis, penyusuan 2 tahun saya boleh jayakan untuk anak kedua ini. Tambah-tambah lagi bila anak sudah makan makanan pelengkap.
Tanpa perlu breastpump, tanpa makan milkbooster, tanpa membayar harga yang mahal untuk kelas breastfeeding. Memang minda saya yang bekerja, supaya hormon susu dapat terus dihasilkan. 90% penyusuan ibu saya dapat kuasai.
Kisah ini dikongsi untuk memberi contoh sebenar kuasa minda ke atas penyusuan. Bukan untuk merendahkan kepentingan breastpump yang memudahkan proses mengumpul stok susu. Bukan untuk memperlekehkan penjualan milkbooster yang telah banyak membantu para ibu menambahkan susu mereka. Bukan juga, merendahkan usaha lactation consultant yang sanggup menjelajah satu Malaysia untuk berkongsi ilmu berkenaan breastfeeding. Jika anda memiliki breastpump yang canggih, milkbooster yang serasi dan turut mengikuti kelas penyusuan ibu, pasti anda lebih berjaya dari saya. Yakinlah pada kemampuan diri. In shaa Allah, 100% kejayaan milik anda.
Tulisan ini juga bukan dibuat untuk membawa satu lagi ideologi baru iaitu menolak keperluan breastpump, kelebihan milkbooster, dan kepakaran lactation consultant. Risau juga saya, tiba-tiba muncul istilah exclusive manual expressed pula nanti. Hu3.
Buat ibu-ibu yang tidak dapat menyusukan anak secara 2 tahun, percayalah, ada rezeki lain yang Allah telah tulis untuk anak anda. Jadikan pengalaman ibu-ibu yang berjaya sebagai inspirasi. Pahit getir yang telah mereka lalui jadikan sebagai panduan. Bila ada orang yang memberikan semangat untuk kita terus berjuang dalam penyusuan ini, itu adalah doa. Jangan kita cantas kerana mereka sedang menanam pokok yang baik pada kita. Aminkan sahaja doanya. Tanamkan minda yang positif. In shaa Allah akan membuahkan hasil yang juga positif. Tidak sekarang, pada masa akan datang.
'Ala kulli hal, selamat berjuang, para ibu menyusu!^^
No comments:
Post a Comment